ULASAN BUKU CARA MENENTANG SERANGAN PEMIKIRAN TERHADAP DUNIA ISLAM

"

Cara Menentang Serangan Pemikiran Terhadap Dunia Islam hasil tulisan Dr. Hassan Muhamad Hassan merupakan sebuah buku yang mengetengahkan permasalahan yang berlaku dalam dunia Islam dan berkait rapat dengan isu-isu semasa yang melanda dunia hari ini. Penulisan ini dibincangkan dengan membahagikan kepada lima bab, iaitu sejarah serangan pemikiran, matlamat dan cara-cara serangan pemikiran, asas-asas penentangan serangan pemikiran, cara penentangan serangan pemikiran dan strategi masa hadapan. Menurut Dr. Hassan, serangan pemikiran ke atas dunia Islam adalah realiti yang jelas berlaku pada masa kini dan dirancang untuk masa hadapan. Penulis berpendapat serangan dilancarkan ke atas umat Islam adalah disebabkan oleh Islam mempunyai akidah yang hidup, penyusunan yang menyeluruh dan pemikiran yang sempurna. Serangan pemikiran adalah serangan yang mencabar akal, bukan menghadapi tentera sebaliknya menghadapi bangsa, menghancurkan kebudayaan dan menyerang individu, maka dengan sebab itu ia lebih kompleks dan memerlukan usaha yang luar biasa serta penentangan yang bijak.

Serangan tersebut tidak hanya terbatas dalam satu aspek kehidupan sahaja, ia merangkumi aspek ekonomi, politik, undang-undang, budaya dan sebagainya. Serangan pemikiran adalah bertujuan untuk membantutkan masa hadapan dan mencorakkan mengikut kehendak mereka. Penulis berpendapat bahawa serangan tersebut lebih ditumpukan kepada remaja berbanding orang dewasa, melihat kepada masa hadapan umat Islam dengan tujuan untuk membentuk remaja yang tersisih dan menyimpang dari kebudayaan Islam

Penulis juga menyentuh beberapa peringkat penting dalam sejarah pemikiran ke atas dunia Islam. Sejarah tersebut dihuraikan oleh penulis dalam tiga peringkat iaitu perang Salib, penjajahan dan gerakan Misionari. Buku ini juga membincangkan berkaitan matlamat dan cara-cara serangan pemikiran. Matlamat serangan pemikiran diperincikan dalam enam perkara. Pertama, mencemarkan gambaran Islam, di mana ia tidak terbatas dalam satu sudut dan tidak ditimbulkan keraguan tentang sesuatu perkara tertentu malah menyentuh Islam secara keseluruhannya dan dalam setiap asasnya. Seterusnya, menimbulkan keraguan tentang sejarah Islam. Melalui matlamat ini, sejarah Islam dicemari dan diragui keagungannya supaya umat Islam mengetahui zaman kegelapan. Bukan hanya sejarah yang lalu, malah menimbulkan keraguan tentang masa kini serta masa depan umat Islam antaranya dengan berlakunya banyak gejala sosial. Selain itu, meleburkan keperibadian umat Islam sehinggakan umat Islam hilang identiti serta akidahnya. Kemudian memperkenalkan unsur-unsur kebudayaan baru dengan menghalakan pemikiran, menguasai politik, membuat keputusan dan memperkotak-katikkan kepimpinan Islam. Selain itu, dalam serangan pemikiran yang dibincangkan, penulis membahagikan kepada dua kategori iaitu secara langsung dan tidak langsung. Serangan pemikiran secara langsung antaranya seperti misionari, pembaratan dan sekularisme. Manakala serangan pemikiran secara tidak langsung pula antaranya adalah dengan melalui politik, pendidikan, media massa, kehidupan sosial dan sebagainya.

Dr. Hassan dalam tulisannya juga membincangkan berkaitan prinsip-prinsip penting dalam menentang serangan pemikiran. Beliau menyimpulkan prinsip-prinsip tersebut dalam beberapa perkara iaitu antaranya penentangan yang meliputi semua sektor dan golongan, di mana jika serangan ditujukan kepada semua sudut maka pertahanan juga harus meliputi kesemuanya. Perlunya penyelarasan antara negara dan badan-badan Islam, di mana penyelarasan tersebut bukan sahaja perlu diwujudkan antara negara-negara Islam, malah perlu diwujudkan antara badan-badan Islam dalam sesebuah negara Islam supaya usaha dapat disatukan.

Cara atau wasilah ialah alat untuk merealisasikan matlamat yang diyakini dan mesti diberikan perhatian yang menyeluruh terhadapnya. Antara cara-cara penentangan yang dibincangkan oleh penulis adalah pendidikan dan peranan rumah tangga. Rumah tangga merupakan institusi pertama ke arah pembentukan sosial dan keperibadian serta pengantaraan yang paling aktif, iaitu hasil dari peraturan antara apa yang diwarisi dengan persekitaran dan fitrah semulajadi dengan apa yang diusahakan. Seterusnya, masjid dan sekolah, di mana perlunya peningkatan kedua-dua jenis pengajian iaitu agama dan moden, pengajian agama mestilah dikaitkan dengan menganalisis serta mengatasi persoalan kehidupan masa kini, perbincangan yang terarah dan meyakinkan dari segi logik, khususnya ketika berinteraksi dengan golongan remaja yang bersifat ingin tahu dan kadang-kadang mudah diresapi dengan keadaan keraguan.

Menurut penulis, perancangan masa hadapan untuk menentang serangan pemikiran bukan hanya dengan usaha seseorang individu malah merangkumi kerjasama pelbagai pihak. Membentuk pasukan yang lengkap, mahir dan berkemampuan untuk melaksanakan penentangan. Perlunya menggunakan kepakaran pakar-pakar Islam dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan supaya saling melengkapi dari segi kepakaran dan pengalaman bagi menentang serangan pemikiran dengan cara yang terbaik. Ia juga memerlukan penyertaan wakil-wakil negara Islam serta wakil-wakil pertubuhan Islam. Keadaan ini supaya kerjasama seluruh tenaga dapat dipadukan sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Penulis juga berpendapat bahawa dalam strategi menentang serangan perlulah melalui pemerhatian, analisis, kajian lapangan dan kajian susulan supaya dapat mengetahui serangan semasa yang dilakukan, dengan ini strategi serangan dapat dikenalpasti dan lebih mudah untuk bertindakbalas.

Berdasarkan kupasan yang dihuraikan, dapat dirumuskan bahawa kandungan buku ini iaitu hasil tulisan Dr. Hassan Muhamad Hassan dapat memberi penjelasan dan pengetahuan dalam usaha membina kekuatan agama dan bangsa ketika berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya serangan pemikiran yang dilakukan ke atas umat Islam. Serangan pemikiran boleh mengubah fikiran dan kefahaman umat Islam khususnya golongan elit dan terpelajar yang mengendalikan kehidupan orang Islam dari segi intelektual, politik, undang-undang dan lain-lain aspek kehidupan, sehingga mereka tidak yakin dan sangsi terhadap kesesuaian Islam dengan kehidupan moden bercirikan sains dan teknologi serta kemampuannya untuk menyelesaikan masalah semasa.

Islam hari ini kita lihat secara terancang diserang dari segala sudut sama ada secara fizikal ataupun minda. Musuh yang cuba mencari jalan untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah putus asa dan luntur semangatnya. Mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah serta bersiap sedia melaksanakan propaganda agar segala arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan oleh penganutnya sendiri. Keadaan ini yang sedang dan telah dilakukan oleh golongan bijak pandai dan strategi bukan Islam terutamanya golongan orientalis yang secara ilmiah dan melalui hujah akademik menyerang pemikiran masyarakat Islam agar mereka merasa sangsi, ragu-ragu dan tidak yakin dengan segala ajaran serta tuntutan agama yang disyariatkan. Keadaan ini adalah kesinambungan dan bukti bahawa sejak dahulu lagi para orientalis komited menyerang agama Islam melalui tulisan dan perbincangan akademik sama ada di dalam dan luar pusat pengajian tinggi yang boleh didapati di dalam banyak medium seperti tesis, buku, jurnal, majalah dan tulisan di atas talian internet.

Sehubungan itu, umat Islam perlu sedar tentang bahaya yang melingkungi mereka dan mengambil sikap berhati-hati dan bersedia menghadapi serangan pemikiran yang tidak pernah berhenti sejak daripada zaman silam sehingga sekarang. Keadaan ini kerana serangan pemikiran bukannya seperti peperangan konvensional yang menggunakan peralatan teknikal malah ia lebih rumit lagi kerana ia membabitkan kecerdikan akal manusia dan pemikiran masyarakat sesebuah negara. Seterusnya boleh memesongkan fakta dan kebenaran sehingga dapat mengalih pandangan dunia terhadap Islam sekaligus berjaya memperlekehkan kewibawaan dan maruah Islam sebagai satu agama yang menganjurkan keamanan dan memartabatkan usaha mengejar kemajuan dan hidup bertamadun.

"
Source : http://ain284.blogspot.com/2011/09/ulasan-buku-cara-menentang-serangan.html
Previous
Next Post »