Bos BPR, jika sehaluan sambung khidmat, jika tidak ...

"Episod "rasuah" yang sedang hangat diperkata dan yang dikaitkan dengan Ketua Pengarah, Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Zulkipli Mat Noor sebenarnya bukan perkara baru. Ia disedari sebaik sahaja (mungkin lebih tepat sebelum) Zulkipli dilantik ke jawatan itu.

Perkara ini tidak diketahui umum dan para pegawai BPR sendiri mungkin tidak mahu menghebohkannya kerana dia adalah bos mereka. Ataupun mereka akur sahaja dengan keputusan kepimpinan politik melantik beliau.

Yang pasti, isu "kebersihan" Zulkipli diketahui oleh Jabatan Perdana Menteri dan oleh Menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang dan oleh Timbalan PM ketika itu (Abdullah Badawi) dan oleh PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri.

Persoalannya, jika ia diketahui kenapa Zulkipli dilantik? Hanya Perdana Menteri yang mempunyai jawapannya (dalam kes ini Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dia dilantik semasa kepimpinan Tun).

Perlu disebutkan disini bahawa Zulkipli dilantik menggantikan Datuk Ahmad Zaki Husin, seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara. Zulkipli merupakan pegawai kanan polis yang pertama menjawat jawatan itu.

Saya sempat berinteraksi dengan Datuk Ahmad Zaki semasa berkhidmat di Pejabat Menteri, JPM dan mendapati bahawa beliau adalah seorang Ketua Pengarah yang tidak bertolak ansur mengenai rasuah dan sedia mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja, termasuk menteri kabinet, pegawai-pegawai tinggi awam, orang kenamaan dan tokoh-tokoh korporat.

Saya percaya oleh kerana beliau bersikap tegas dan menyiasat "rasuah" di kalangan orang politik, maka khidmatnya tidak disambung selepas hanya dua tahun menjadi KP BPR. Beliau ditukarkan ke Lembaga Penasihat di JPM selaku Pengerusi.

Lain pula dengan penggantinya, Zulkipli, perkhidmatannya disambung sebanyak dua kali, pertama oleh Tun Mahathir dan kali kedua oleh Abdullah Badawi. Nampaknya Zulkipli adalah seorang Ketua Pengarah yang cukup hebat sehingga khidmatnya perlu disambung sebanyak dua kali.

Bagi saya, pertukaran Ahmad Zaki adalah satu keputusan "politik" yang silap kerana beliau adalah seorang pegawai yang cekap, beramanah dan tegas dalam menjalankan tugas. Beliau membuka beberapa kertas siasatan membabitkan "kes besar" termasuk ke atas tokoh politik dan tokoh korporat terkenal. Malangnya, khidmat beliau tidak disambung dan saya tidak tahu apa dah jadi dengan beberapa kes tertentu termasuk membabitkan ahli kabinet.

Saya masih ingat antara kes besar yang disiasat dan ada yang telah dikemukakan ke mahkamah membabitkan kes penipuan Lembaga Tabung Haji, kes bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kes Perwaja, kes salahguna wang Penerbangan Malaysia (tak tahu apa kesudahannya), kes penipuan bon PUNB dan kes Telekom Malaysia Bhd dan Mitsui and Co.

Kes-kes besar itu disiasat dan ada yang sempat diambil tindakan semasa Ahmad Zaki menerajui BPR. Sepatutnya, kerajaan harus berbangga dengan ketegasan seorang pegawai seperti Ahmad Zaki bukan menukarkannya selepas dua tahun. Tetapi, apa boleh buat, inilah cara pentadbiran di Malaysia.

Nah, sekarang apa dah jadi? Di mana integriti? Di mana harga diri? dan di mana hadhari?"
Source : http://kudaranggi.blogspot.com/2007/03/bos-bpr-jika-sehaluan-sambung-khidmat.html
Previous
Next Post »